Wednesday 31 July 2013

Cerpen : Perjuangan Itu Pahit Kerana Syurga Itu Manis.

حيم الر حمن الر الله بسم
Perjuangan Itu Pahit Kerana Syurga Itu Manis.

Adira menutup komputer riba. Selesai sudah satu assignment yang hanya tinggal untuk dihantar sahaja. Dia mengeliat sedikit kemudian menoleh kebelakang. Teman sebiliknya, Aina sudah lama mengulit mimpi. Pandangannya ditala kehadapan semula melihat dinding yang penuh dengan sticky note, peringatan tentang kerja-kerja yang perlu dilunaskan. Masih banyak dengan segala tutorial, assignment dan projek yang menanti. Tipulah kalau nak kata dia tidak tertekan tapi ini jalan yang telah dipilih, memilih kejuruteraan sebagai kursus pilihan.

                Semester satu yang sangat mencabar. Mentally, physically. Kadang-kadang terdetik rasa sesal di hati Adira mengambil kejuruteraan awam. Bolehkan dia survive hingga ke akhirnya? Sesuaikah dia dengan bidang ini. Adira meraup muka. Sudah hampir seminggu pertanyaan ini berlegar di kepalanya. Entah apa yang difikirkan sangat pun Adira tidak pasti. Yang dia tahu dia sudah mula tidak selesa dengan kursus kejuruteraan ini lagi.

                Telefon bimbit di atas katil berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Tangan Adira lincah mengemas meja kemudian dia bergerak menghampiri katil.

"Salam'alayk adik-adikku sayang. Esok usrah seperti biasa dengan tugasan masing-masing. =)"

Mesej Kak Aisyah, naqibah usrahnya dia balas tanda faham kemudian berlalu ke tandas. Sebelum itu sempat matanya melirik pada jam di telefon bimbit.

"Pukul 2 pagi dah? Hmm... solat sunat kejaplah."

*             *             *             *

                Usai usrah di surau kolej, Adira terus pulang ke bilik. Sebelum tidur sempat dia menyelesaikan beberapa assignment dan tutorial yang meminta perhatiannya. Hampir jam satu pagi barulah dia berhenti. Kepala diteleng ke kiri dan ke kanan melegakan sendi-sendi yang terasa bagai tersimpul erat. Terasa lega. Bila ditoleh kebelakang, Aina masih di atas katil sambil berhadapan dengan komputer ribanya. Adira teringat kata-kata naqibah usrahnya tadi yang masih terngiang-ngiang di kepalanya.

"Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis."

Berkali-kali dia mencerna tapi masih juga dia tidak faham. Mungkin umumnya dia mengerti maksud ayat itu, tapi di sebalik kata-kata Kak Aisyah itu penuh persoalan. Sebelum pulang tadi sempat dia duduk berdua dengan naqibahnya meminta pendapat. Ketika itu, rakan usrahnya yang lain sudah meninggalkan surau menuju ke destinasi masing-masing.

"Apa yang Adira nak tanyakan?" lembut sahaja suara Aisyah bertanya.

"Dira sudah tak selesa lagi dalam bidang ini kak." Ayat pertama Adira hanya mengundang senyuman di bibir naqibahnya.

"Maksud Dira, kejuruteraan awam?" pantas sekali Aisyah menebak. Bagaikan tahu apa yang bermain di fikiran Adira. Adira hanya mengangguk. Sesekali dia bermain dengan hujung tudung menghilangkan resah. Resah dengan apa yang mahu dibicarakan dengan naqibahnya kerana takut bakal mengundah salah faham.

"Apa yang Dira rasa tak selesa? Ceritalah, inshaAllah akak bantu mana yang mampu."

"Dira takut course ni akan menjauhkan Dira dari Allah." Perlahan-lahan Adira bersuara takut dengan reaksi naqibahnya tetapi senyuman dari Aisyah membuatkannya  yakin untuk terus bercerita.

"Akak tahukan Dira dulu macam mana? Solat tak jaga, aurat tak tutup dengan sempurna apatah lagi pergaulan. Dira terlalu bebas dulu kak. Kemudian setahun yang lepas alhamdulillah Allah pilih Dira untuk hidayahNya, Dira rasa syukur sangat... Allah pilih Dira sebab Allah sayang." Bicara Adira terhenti seketika mahu mencari kekuatan.

Dia bukanlah berasal dari latar belakang keluarga yang menitik beratkan agama. Ibunya walaupun sudah berusia empat puluh tujuh tahun masih belum mengenakan hijab dan sibuk menguruskan butik pakaian yang dimilikinya sejak lima belas tahun lepas. Ayahnya pula jarang ada di rumah kerana tuntutan kerja membuatkan ayahnya sering berada di luar negara. Adira ialah anak tunggal dan kerana itulah dia menjadi satu-satunya harapan untuk mengemudi syarikat milik ayahnya nanti.

"Semuanya mudah dulu sebab Dira masih belum pilih jalan yang bakal mencorakkan masa depan Dira masa tu. Waktu asasi dulu Dira tak perlu fikir dengan siapa Dira bakal berjumpa atau bakal bekerja sebab Dira hanya perlu fokus pada pelajaran.  Jadi tak ada masalah bagi Dira untuk kekal dalam usrah, bagi komitmen dalam urusan lain dan yang paling penting kekal dalam jalan lurus yang Allah dah tunjuk ni."
Aisyah tersenyum lagi memberi Adira ruang untuk terus bercerita.

                "Bila Dira pilih sivil, Dira istikharah dulu. Alhamdulillah jawapan yang Allah bagi positif untuk Dira pilih course ni. Cuma apabila dah nak hampir final exam ni Dira selalu tertanya-tanya betul ke pilihan Dira ni dan boleh ke Dira jadi adil. Adil kepada diri dan juga kepada Allah... Semakin Dira belajar semakin Dira faham apa yang bakal Dira hadapi dalam bidang sivil ni."

"Jadi, pada pendapat Dira macam mana?"

"Dira takut Dira terleka kalau terus dalam bidang ni. Dira takut nak fikir waktu Dira dah berkerja nanti.  Kesibukan, pergaulan, dengan siapa Dira akan berkerja... Dira takut akan meminggirkan hak Allah. Dira tak nak jauh dari Allah lagi."

"Bukankah semua itu boleh dielak?" Soalan Aisyah seperti mahu menduga Adira. Adira menarik nafas panjang sebelum menjawab. Inilah apa yang dia resahkan, salah faham bagi orang yang mendengar pendapatnya.

"Dira tahu kita boleh elak semua tu. Yang penting hanyalah kekuatan diri. Tapi... sampai bila? Dira takut diri ni tak mampu. Dira tahu Allah menguji bagi yang mampu, tapi kalau boleh Dira nak elakkan. Dira hanya manusia biasa yang tak tahu bila Allah akan tarik balik nikmat hidayah ni..."

                "Dira nak tukar course?" Nah! Itu dia apa sebenarnya yang bermain di fikiran Adira. Dia rasakan kejuruteraan sivil sudah tidak sesuai untuk dia teruskan. Cuma hati banyak bertanya apa penerimaan keluarganya kelak? Terutamanya ayahnya yang berharap sangat dia sebagai peneraju utama di syarikat konsultan ayahnya.

                "Dira tak pasti. Dira takut ayah tak setuju lebih-lebih lagi ayahlah yang beria-ia nak Dira ambil course ni dulu." Aisyah mengangguk kemudian mengusap lembut tangan Adira.

"Satu sahaja yang akak mampu nasihat. Istikharahlah pada Dia. Pada yang merencana kerana Dia lebih tahu tentang sesuatu. Mungkin Dira rasa tak selesa, tapi kerana tak selesa itulah perjuangan. Mungkin Dira rasa sudah tak sesuai, tapi yang tak sesuai itulah perjuangan. Ingatkan kata-kata akak tadi?"

"Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis." Perlahan suara Adira menuturkan kembali ayat naqibahnya sebelum usrah berakhir tadi.

"Betul tu. Tapi akak tak kata perasaan Dira tu salah. Mungkin ada perancangan Allah yang lebih baik untuk Dira. Mungkin juga ini salah satu ujian buat Dira dari Dia. Mungkin Allah lebihkan sedikit ujian buat Dira supaya Dira jadi lebih kuat dan lebih hebat untuk hadapi hari-hari seterusnya. Apa-apapun minta petunjuk dari Allah sebab Dia akan beri jawapan yang terbaik."

Adira mengangguk. Kata-kata Kak Aisyah ada benarnya. Entah bagaimana dia boleh terlupa tentang itu. Istikharah.

Daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: "Rasullullah S.A.W mengajar kami istikharah dalam sesuatu perkara sebagaimana Baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran. Rasullah S.A.W bersabda, maksudnya; "Apabila salah seorang daripada kamu merancang dalam sesuatu perkara, hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat." (Riwayat al-Bukhari)

"Tapi akak nak Dira ingat satu perkara ni."

Adira mendongak mencari anak mata naqibah usrahnya. "Apa dia?"

"Jalan yang kita pilih sesudah istikharah tentunya ketentuan dari Allah tapi ia bukan jaminan kita tidak akan diuji..."

*             *             *             *

                "Dira!" Tersentak Adira dengan panggilan Aina kepadanya. Hilang segala ingatannya pada peristiwa tadi. Dikalihnya badan kebelakang. Keningnya diangkat bertanya.

"Nak tidur dah ke?" Tanya Aina sambil bersila pula di atas katil yang dari tadi meniarap menghadap komputer riba.

"Aah... tapi nak kemas sikit dulu. Kenapa?"

Aina tersengih. Komputer ribanya dihulur tiba-tiba. "Tolong letakkan lappy aku atas meja. Terima kasih..."

Adira bangkit dari kerusi. Huluran Aina diambil. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.

"Na, malam ni aku nak qiam. Nak join?"

"Boleh-boleh! Nanti kejutkan aku sekali ye?" Aina merebahkan badannya.

"Okey!" Adira tersenyum senang hati. Dia tidak mahu bangun qiam seorang kerana dia juga ada sahabat yang ingin dibawa ke syurga bersama.

*             *             *             *
            
     Sudah seminggu Adira melakukan istikharah meminta mana yang terbaik. Kali ini dia sudah ada jawapan. InshaAllah dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Hatinya sudah nekad. Telefon bimbit di atas meja di ambil. Mujur Aina ada kelas kerana dia ingin sedikit privasi di bilik untuk berbicara dengan ibunya tentang keputusan yang mahu di ambil. Bunyi talian yang belum disambungkan ditunggu penuh sabar sambil bibirnya tak lepas membaca basmallah. Mohon dipermudahkan.

                "Assalamua'laikum..."

                "Waa'laikummussalam. Dira, sihat?"

                "Alhamdulillah Dira sihat... Ibu sihat? Ayah?"

                "Kami berdua sihat. Ada apa Dira call ibu?"

                "Dira harap ibu tak marah. Hmm... Dira ingat nak tukar courselah bu..." Perlahan sahaja suara Adira berkata-kata. Dia takut reaksi balas dari ibunya, Datin Sri Nafisah.

                "Maksud Dira?"

                "Boleh tak Dira nak tukar ke Sains Kognitif?"

                "Dira, jangan bergurau dengan ibu perkara macam ni!"

                "Tak bu... Dira dah istikharah, inshaAllah Dira nak ke bidang lain. Dira minta maaf menyusahkan ibu."

                "Adira! Cakap betul-betul dengan ibu apa masalah kamu yang sebenarnya ni? Sampai nak tukar course pula?"

                "Tak bu... Cuma Dira tak yakin Dira mampu buat yang terbaik dalam sivil ni. Ibu, Dira..."

                "Ibu tak tahu! Mesti Dira ada buat masalah sampai nak tukar course! Dira tanya ayah sendiri, ibu tak nak campur!" Tersentap Adira dengan kata-kata Puan Sri Nafisah. Tapi ditenangkan hati cuba mengingati yang dia sedang berbicara dengan wanita mulia yang melahirkannya. Wanita yang di telapak kakinya ada syurga buat dia.

                "Ibu, Dira minta ma..." Talian terputus. Adira terkedu sendiri. Belum apa-apa lagi sudah begini reaksi ibunya jadi bagaimana dia mahu berterus terang kepada ayahnya? Niat Adira tadi untuk memujuk ibunya memberitahu kepada ayahnya tapi reaksi ibunya sangat menduga hati Adira. Adira menggenggam jemarinya mohon Allah memberinya kekuatan. Nombor telefon bimbit ayahnya didail. Tiada jawapan. Adira mencuba lagi hinggalah kali ke empat dia sudah berputus asa. Bukan mudah mahu berbicara dengan ayahnya yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.

*             *             *             *

                Seminggu berlalu tetapi ibu mahupun ayah Adira tidak juga menghubunginya semula. Dan sepanjang masa itulah dia terus melakukan solat hajat dan istikharah memohon Allah mempermudahkan jalannya dan memberi sebaik petunjuk. Adira berkali kali mendail nombor telefon ayahnya sejak kali terakhir bercakap dengan ibunya. Peperiksaan akhir semakin menghampiri dan dia perlu cepat memaklumkan kepada ayahnya tentang niatnya yang mahu bertukar bidang. Selepas naik cuti semester nanti dia mahu memohon untuk bertukar kos. Dia sudah ada perancangan buat dirinya.

                Telefon bimbit di ambil. Dia perlu mencuba lagi. Sesudah mendail, dia bersabar menanti. Suara ayahnya memberi salam membuat Adira mengurut dada lega walaupun dalam masa yang sama dia gentar.

                "Ibu ada beritahu ayah yang Adira nak tukar kos?" Walaupun Tan Sri Ghazali tidak menengking tapi tetap tegas suaranya.

                "Ya ayah. Dira ingat..."

                "Dira cakap kat ayah apa yang buat Dira nak tukar kos?"

                "Sebab Dira rasa tak sesuai dengan bidang ni."

                "Apa yang tak sesuai tu Dira? Beritahu ayah dulu..." Walaupun Tan Sri Ghazali nampak berkompromi tetapi Adira tahu ayahnya hanya meminta alasan dan tiada alasan sesuai yang boleh dia berikan untuk bertukar bidang lain kerana Adira tahu ayahnya tetap akan berkata tidak. Sejak dari dulu Tan Sri Ghazali berharap kepada Adira kerana dia tiada pewaris lain dan ketika itu dia yakin Adira pasti menuruti kemahuannya.

                "Pergaulan Dira nanti yang Dira risaukan."

                "Pergaulan apa, Adira? Kan kamu masih belajar lagi?"

                "Ya ayah, Dira faham. Maksud Dira apabila Dira dah berkerja nanti..."

                "Biasalah tu! Setakat nak berbincang dengan lelaki, berkerja dengan mereka apa salahnya? Dah namanya pun kerja bukannya kamu buat perkara tak elok!" Suara Tan Sri Ghazali meninggi mencecah gegendang telinga Adira.

Itu yang membuatkan Adira tidak mahu bercerita lanjut mengapa dia mahu menukar bidang kerana fahaman dia dan ayahnya berbeza. Dia tidak mahu sebab yang diceritakan kepada naqibahnya diceritakan kepada ayahnya semula kerana Tan Sri Ghazali. Tetapi bagi Adira sendiri yang menanggung, dia selesa apabila dia memberati auratnya. Dia mahu mengelakkan segala zina yang boleh dihampiri melalui anggota badannya. Zina hati, zina mata, suara wanitanya, lenggok badannya... segalanya mahu dijaga. Sayangnya, Tan Sri Ghazali tidak memahami.

"Tapi Dira tak mampu yah..." Adira masih lagi tidak mahu bercerita sebab sebenar. Dia selesa melindungi hakikat yang sebenarnya.

"Apa yang kamu tak mampu dengan engineering? Dira cakap sahaja apa yang Dira nak ayah boleh beri tapi bukan tukar kos!"

"Dira dah nekad ayah..."

"Baiklah! Kalau kamu nak tukar bidang, terpulang! Tapi sekali kamu dah tukar kos, segala perbelanjaan kamu tanggung sendiri. Ayah tak akan beri apa-apa bantuan untuk tanggung kamu belajar lagi! Ayah nak tengok sejauh mana kamu mampu untuk belajar dalam bidang lain dan bukan bidang kejuruteraan!"

"Dira minta maaf..." Talian terputus. Seperti mana hari dia menelefon Puan Sri Nafisah begitu juga hari ini. Terkumat kamit mulutnya menyeru nama Allah mohon kekuatan. Hatinya walang dengan penerimaan Tan Sri Ghazali. Tapi Adira yakin dengan nikmat Allah untuk setiap ujian yang ditimpakan. Pasti ada cahaya yang menanti walaupun dia tidak pasti bila.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Muhammad : 7)

*             *             *             *

                Tempoh sebulan cuti semester telah berakhir dan sejak sebulan yang lalulah Adira berkerja di salah sebuah kedai berhampiran rumahnya. Dia mengambil upah mencuci pinggan dan berkerja lapan jam setiap hari tanpa cuti. Dia perlu berusaha kerana dia perlukan wang. Kalau nak dikira berapa kali dia bertemu dengan ayah dan ibunya pasti boleh dikira dengan jari sahaja.

Pagi sahaja dia sudah keluar untuk mula berkerja dan ketika itu ibunya masih tidur atau pun keluar ke butik manakala ayahnya masih di luar negara. Ketika pulang pada waktu petang pula ibunya masih belum pulang kerana ada aktiviti persatuan dan dia terus naik ke bilk untuk merehatkan badan. Waktu malam jika dia berkesempatan sahaja dia akan bertemu Puan Sri Nafisah. Tapi sejak peristiwa hari itu jarang ibunya mahu menegur. Mungkin Puan Sri Nafisah turut berasa kecewa dengan keputusannya.

Tan Sri Ghazali benar-benar mengotakan janji tidak memberinya sebarang duit untuk perbelanjaan. Sejak kali terakhir Adira bercakap dengan ayahnya dia sudah mengira kos sara hidup yang bakal ditanggungnya nanti. Dan yang menjadi mangsa ialah kos untuk makan. Adira perlu berkorban wang yang diperuntukkan untuk makanan supaya dia boleh berjimat. Banyak perkara yang dirisaukan Adira terutamanya kelengkapannya untuk belajar dan buku rujukan penting yang harus dibelinya.

Urusan penukaran kos sudah dilakukan semasa study week sebelum ini. Mencungap juga dia turun naik pejabat dekan untuk bersoal jawab dengan dekan mengenai hal ini. Bukan mudah untuk menukar kos lebih-lebih lagi dia dari bidang kejuruteraan. Terlalu banyak sebab yang diminta dan alasan yang diberi perlu kukuh. Hatinya mengadu penat tapi akalnya mendesak sabar dengan ujian.

Keputusan akhir sama ada Adira berjaya menukar kos akan diketahui esok. Hatinya berdebar-debar takut dengan keputusan yang negatif. Adira duduk bersandar di kepala katil dan kakinya dilunjurkan ke hadapan. Bahu dan tengkuknya diurut perlahan silih berganti. Baru dia tahu lelah mencari wang untuk meneruskan hidup. Dua hari lagi dia akan pulang ke universiti dan esok hari terakhir dia berkerja. Ada debar dalam dadanya. Adira berzikir perlahan berharap mampu menenangkan hati.

Pada Aina sudah dikhabarkan tentang keputusannya. Alhamdulillah rakannya yang seorang itu menerima keputusan yang dibuat dan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saat dia merasa sukar dengan rasa dipinggirkan ibu bapa, masih ada rakannya tempat dia mengadu cerita. Adira yakin Allah itu Maha Adil. Saat dia terasa mahu berjimat tidak mahu makan semasa berkerja, pasti bosnya akan mempelawa dia makan bersama dengan percuma.

Esoknya masih berjalan seperti sediakala. Pulang sahaja dari tempat kerja Adira terus memeriksa keputusan permohonan penukaran kos di laman web universitinya. Terus sahaja Adira sujud syukur saat melihat permohonannya diluluskan. Malam itu dia mengemas barang untuk dibawa pulang, ibunya datang menjengah ke dalam bilik.

"Boleh ibu masuk?" Soalan Puan Sri Nafisah dijawabnya dengan anggukan kecil lantas tersenyum. Mungkinkah perubahan yang baik?

"Ibu tak dapat hantar Adira esok sebab ibu ada meeting. Tak apa ya?" Puan Sri Nafisah melabuhkankan duduk di birai katil. Terhenti Adira dari menyusun baju di dalam beg.

"Tak apa Dira faham." Adira tersenyum.

"Dira masih berkeputusan nak tukar kos?" Lembut suara ibunya bertanya buat Adira lebbih serba salah nak menjawab takut jawapannya akan mengecewakan ibunya.

"InshaAllah Dira akan tukar kos. Adira minta maaf sebab mengecewakan ibu dan ayah..." Berlinang air matanya. Puan Sri Nafisah sebak. Dia kecewa dengan keputusan Adira tapi dia masih seorang ibu yang turut merasa pedih andai anaknya tercalar rasa. Dia tahu anaknya bersusah payah dalam sebulan ini.

"Kalau itu yang Dira rasa terbaik teruskanlah. Tapi ibu minta maaf, ibu tak boleh menanggung Adira. Ayah sudah suruh ibu berjanji Dira..."

"Tak apa bu. Dira faham... Dira cuma nak minta doa ibu hari-hari moga Dira terus kuat dalam bidang ni dan tak akan menoleh ke belakang lagi. Doakan Dira ye bu hari-hari?" Puan Sri Nafisah menarik Adira ke dalam pelukannya. Dia tahu Adira rasa susah tapi dia tidak mampu membantu. Usai pelukan dileraikan Puan Sri Nafisah menghulur sesuatu buat Adira.

"Ambil ni buat belanja. Kali ni sahaja ibu mampu beri..." Beberapa keping not biru itu diletakkannya dalam tangan Adira.

"Ibu..." berbolak balik hati Adira. Dia mahu menolak tapi dia juga perlukan wang naik sahaja cuti semester nanti.

"Ambil saja. Belajar rajin-rajin..."
            
            "Terima kasih bu..."

*             *             *             *

Tahun pertama...

                Lelahnya Adira Allah sahaja yang mengetahui. Dia perlu bermula semula. Semester keduanya menjadi semester pertama semula kerana bidang yang di ambilnya berlainan sama sekali. Ada suara-suara yang berkata dia gagal peperiksaan dan ada juga yang berkata dia tidak mampu dalam bidang kejuruteraan lagi. Apa sahaja kata mereka, Adira terima dengan redha. Aina sahaja yang memahami. Walaupun tidak lagi sebilik dengan Aina tapi sering sahaja Aina menelefon jika ada apa-apa yang boleh dibantu. Dan dia tidak mahu menyusahkan rakannya kerana selagi kudratnya terdaya dia akan ikhtiar sendiri.

                Minggu ketiga belajar Adira sudah mula terasa wangnya semakin ligat mengalir keluar. Buku, barang-barang keperluan, makan dan yuran untuk kos ini semua perlu di ambil kira. Kadang-kadang hatinya sesak dengan rasa hiba kerana rasa susah tapi hanya diarinya tempat dia meluah rasa. Sekurang-kurangnya dia tahu dia selesa belajar tanpa perlu rasa bimbang di akhirnya kerana dia punya perancangan sendiri dalam bidang ini.

Dia sedang berjuang! Itulah yang ditanamkan dalam lubuk hatinya supaya dia sentiasa tersenyum menghadapi kesulitan itu. Kerana perjuangan dia masih panjang dan dia sangat mengharap perjuangannya itu membuahkan hasil yang besar. Kerana itu dia masih bersabar dan tersenyum untuk setiap ujian supaya tak terlalu rasa beban yang ditanggung.

Malam itu selesai usrah buat pertama kali sejak cuti, dia duduk berdua dengan naqibahnya.

                "Macam mana dengan kos baru? Okey?" Aisyah memulakan bicara.

                "Alhamdulillah kak... Walaupun penat tapi Dira selesa sekarang. Belajar pun okey."

                "Dira jangan lupa, Dira sentiasa ada akak dan rakan-rakan yang lain jika perlukan pertolongan. Walaupun kami kekurangan wang tapi kami tak kurang kasih sayang untuk Adira."

                "Dira tahu... Tapi setakat ni alhamdulillah Dira okey dengan semuanya. Biasalah kalau penat sedikit sebab Dira kena start semester satu semula." Aisyah mengangguk.

                "Kalau setiap kali Dira rasa berat dengan semua ujian ni, buka balik surat cinta Allah. Baca dan fahami inshaAllah hati akan tenang. Setiap kali Dira rasa tak kuat dengan ujian Allah, selalu ingat Allah nak beri kita nikmat selepas itu sebab itu Allah uji. Macam dalam Surah Al Baqarah ayat 286... Dira tahukan?"

                "Allah menguji bagi yang mampu..."

                "Sebab Allah tahu Adira mampu sebab tu Dira yang terpilih untuk ujian ni. Allah nak bagi pelangi lepas hujan." Berkias kata Aisyah tapi Adira faham maksud disebalik kata-kata itu.
           
                "Tapi hujan itu bukan tak ada hikmahnya. Cuma kita sahaja yang perlu tahu macam mana nak jadikan hujan itu suatu nikmat bukan perkara yang mudarat..." Penuh berkias kata-kata Aisyah dan dia harap adik usrahnya itu faham maksud yang ingin disampaikan.

Minggu keempat Adira mula berkerja lagi tapi sebagai penolong di kedai buku berhampiran universitinya. Empat jam sehari setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tidak cukup dengan itu dia juga mengambil upah mencuci pinggan setiap kali tiada kelas. Gajinya dibayar untuk setiap jam dia berkerja. Walaupun gaji yang diperoleh sedikit tapi sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan hariannya. Kos makan sering dibahagikan sedikit kerana Adira sering berpuasa sunat dan itu mampu membuat dia berjimat.

                Setiap Isnin dan Selasa kelas Adira berakhir malam. Petang Rabu dan Khamis pula dia tiada kelas dan setiap petang itulah dia mengambil upah mencuci pinggan. Pulang sahaja dia dari kelas dia cubakan juga menggagahkan diri untuk mengulangkaji. Hampir pukul dua pagi dia tidur dan setiap kali dia tidur lewat sempat dia melakukan solat sunat. Dan seawal lima setengah pagi juga dia bangun menunaikan solat Subuh dan menyambung mengulangkaji sebelum bersiap untuk ke kelas yang bermula pada pukul lapan.

                Rutin harian Adira kekal begitu walaupun dia menghampiri peperiksaan akhir. Walaupun sibuk dengan kerja sampingan, dia tetap memperuntukkan masa untuk belajar. Tidurnya hanya beberapa jam sehari dan pernah juga dia tertidur di kelas akibat kepenatan. Tetapi selepas itu segera dia mencari rakan mengajarnya semula apa yang tertinggal. Dia sayangkan kos ini dan dia mahu cemerlang walaupun sesusah mana ujian yang dia hadapi.

                Keputusan Adira walaupun bukan four flat tapi sudah cukup membanggakan kerana dia tersenarai dalam senarai penerima anugerah dekan. Segera dia sujud syukur sebaik sahaja mengetahui keputusan peperiksaannya. Aina yang semakin turut tersenarai sebagai penerima anugerah dekan untuk semester ketiganya tetap mencuri masa menjenguk Adira mengucap tahniah. Berpelukan mereka melepaskan rindu kerana selalunya telefon sahaja yang menghubungkan mereka. Untuk selalu berjumpa, masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

                "Tahniah Dira!"

                "Syukran! Syukran! Kau juga Aina, tahniah!"

                "Disebabkan kita dapat dean list... hari ni kau kena spend masa dengan aku sebab aku nak belanja kau makan!" Aina memaut bahu Adira mesra tapi reaksi Adira tampak serba salah.

                "Na, maaflah... Aku kerja lepas ni."

                "Ala Dira... kalau tak lama pun  kejap je. Kau call la bos kau cakap kau lambat sikit mesti dia faham punya." Tak sanggup menghampakan niat Aina, Adira turutkan sahaja. Kepada bosnya dimaklumkan dia akan lambat dua jam ke tempat kerja dan maksudnya gajinya untuk dua jam tiada. 'Demi Aina, apalah sangat dua jam tu!' Fikir hati Adira.

*             *             *             *

     Semester dua barmula diiringi dengan aliran air mata dari Adira. Wangnya simpanannya tinggal beberapa puluh ringgit sahaja ketika minggu pertama mendaftar kerana sudah habis digunakan untuk membayar yuran semester dua. Untuk meminjam wang dia malu. Malu kerana kudratnya masih mampu mencari wang sendiri cuma dia yang tidak berusaha lebih. Dia kekekangan masa kerana dia juga perlu tumpukan perhatian dengan pelajaran.

                 Sewaktu semester pertama dahulu pernah dia tidak makan hampir dua hari kerana wangnya tidak cukup. Badannya juga sudah susut kerana hampir setiap hari dia berpuasa. Adira berharap dia tidak berpuasa kerana tidak cukup wang kerana dia mahu mengikhlaskan diri untuk setiap ibadah yang dilakukan. Dan setiap kesulitan yang ditempuhi mengajarnya erti bersyukur untuk setiap nikmat yang dilakukan.
            
                 Dia mengantuk, dia penat, dia lapar, dia sakit tapi dia diamkan sahaja. Bagi Adira cukup Allah mengetahui apa yang dia tanggung dan untuk setiap ujiian yang Allah timpakan dia bersabar menunggu hikmahnya. Lebih-lebih lagi ini ialah jalan yang dia pilih dan hatinya cuma berharap moga redha Allah bersamanya.

                Hari itu dia lewat ke kelas. Entah bagaimana dia terlupa mengunci jam dan hampir jam lapan pagi barulah dia tersedar. Semalam dia tidur ketika jam menunjukkan tiga pagi dan disebabkan itulah dia boleh terlajak tidur. Nasib baik dia tidak boleh solat dan terus sahaja Adira bersiap untuk ke kelas. Usai bersiap jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi dan Adira terus bergerak menuju ke kelas. Tidak sampai seminit berjalan hujan renyai turun dan baru setengah jalan hujan mulai lebat. Berlari dia dalam hujan lebat dan entah bagaimana dia boleh terjatuh dan buku yang dipegangnya habis kotor terjatuh dalam air hujan yang bertakung. Tidak cukup dengan itu baju kurungnya juga habis kotor.

                "Astaghfirullah... Astaghfirullah... tabahkan aku dalam ujianmu Ya Allah, tabahkan hati aku Ya Allah." Berkali-kali Adira mengucap ayat yang sama dan dia bangun tapi niatnya untuk ke kelas mati. Dia perlu pulang ke bilik menukar pakaian dan sepanjang dia berjalan pulang hanya Allah sahaja yang tahu betapa dirinya malu diperhatikan orang lain. Mengalir air matanya bersama hujan yang turun ketika itu memikirkan wang yang bakal mengalir keluar lagi kerana buku itu dipinjamnya dari perpustakaan.

                "Adira, Allah bagi ujian sebab sayang. Bersyukur Adira, bersyukur... Perjuangan memang pahit kerana syurga yang menanti itu manis Adira..." Berkali-kali juga Adira mengingatkan diri sendiri supaya tenang menerima musibah dan dia perlu yakin dengan takdir Allah. Zikrullah menjadi mainan bibirnya kerana itu sahaja yang mampu menenangkan hatinya.

                Tidak mungkin Adira lupakan payah jerih yang dilalui kerana pengalaman itu yang mengajar dia menjadi manusia yang bersyukur dan penuh rasa sabar dalam hati. Akhirnya peperiksaan akhir berlalu dengan keputusan yang mampu membuat Adira melupakan kesukaran yang dilalui apabila dia tersenarai sebagai penerima anugerah dekan sekali lagi.

                'Benar... yang payah, yang susah, yang sakit, yang perit akan berlalu. Dan yang tinggal pastinya kenangan dan pengalaman yang banyak mengajar erti hidup. Hidup perlu diteruskan tak kira sesukar mana ujian yang ditimpakan pada diri...'

Tahun kedua...

                Selepas berakhir semester kedua, Adira mengambil antarsesi. Jika dia pulang ke rumah pastinya suasana suram sahaja yang dia alami. Tan Sri Ghazali masih dingin dengan Adira dan setakat ini tidak pernah mereka bertanya keadaan Adira sejak dia menukar kos. Setiap kali di merindui ibu dan ayahnya, Adira pendamkan sahaja. Kedang-kadang dia teresak sendiri di bawah bantal mengawal bunyi tangis. Jika rakan sebiliknya bertanya mengapa dia tidak pernah pulang bercuti, dikatakan sahaja dirinya mahu berkerja mencari wang lebih.

Keputusan untuk mendiami kolej sudah diketahui. Tersandar Adira melihat keputusan kerana dia tidak mendapat kolej pada semester ketiga ini. Ramai rakannya yang mendapat tempat di kolej kerana berjaya mengumpul merit seperti yang dikehendaki kolej tapi apakan daya Adira, kerana dia banyak berkerja dan hampir tiada masa buat diri sendiri. Dia perlu mencari rumah sewa pula selepas ini. Tinggal di rumah sewa bermaksud lebih banyak wang yang diperlukan. Adira meraup wajah.

"Allahurabbi.. Ya Allah, tabahkan aku dengan ujianmu dan jadikan aku bersyukur dengan setiap ujianMu."

Petang itu juga dia menelefon apabila ada rakan yang menghulur nombor telefon rumah untuk disewa. Tapi sayang, terpaksa ditolaknya apabila sewa rumah terlalu tinggi bagi Adira dan dia tidak mampu membiayainya. Malam itu menangis dia bersujud berdoa kepada Allah supaya memudahkan segalanya untuk dia lalui. Bukan dia merungut cuma apabila terlalu letih, hati tanpa sedar meratap nasib.

Tiga hari bermula semester baru dan selama itu dia tinggal di surau kolej kerana dia masih belum mampu mencari rumah sewa. Usai solat Asar, pintu surau terbuka dan Adira tergamam melihat Aina masuk dengan penuh perasaan. Terus dipeluknya Adira yang sedang duduk bersandarkan dinding.

"Kenapa kau tak beritahu aku? Kenapa?" Teresak-esak suara Aina bertanya. Hiba hatinya melihat kesusahan rakannya seorang ini. Yang lebih perit apabila Adira lebih rela menelan sendiri dari berkongsi atas dasar tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Aku minta maaf. Aku tak nak susahkan kau Na..." Adira menangis menjawab. Menangis yang lebih kepada dia terlalu lama mengharapkan bahu untuk menangis supaya terasa kurang beban yang di hadapi. Tapi untuk bercerita kepada Aina dia tidak sanggup menyusahkan rakannya yang seorang ini.

"Lepas ni kau duduk dengan aku dan sekarang kemas semua barang-barang kau kita bawa dalam bilik aku! Mana barang-barang kau?" Melilau mata Aina memerhati sekeliling dan pandangannya terhenti di sudut dinding. Belum sempat dia berdiri untuk mengambil barang Adira, tangannya dipaut kemas.

"Na... aku tahu niat kau baik nak tolong aku. Tapi, kau tahukan Na ia satu kesalahan bawa orang lain menghuni bilik kau."

"Habis tu? Kau ingat aku sanggup tengok kau duduk surau sebab tak ada tempat tinggal?"

"Tak apa Na... Nanti kalau aku dah jumpa rumah sewa aku tak duduk sini."

"Okey kalau macam tu kau duduk dengan aku lepas jumpa rumah sewa yang selamat dan sesuai. Yang selamat terutamanya, faham?" Aina perlu bertegas kali ini. Dia tahu tidak guna dia terus memujuk Adira kerana Adira tidak pernah mahu menyusahkan orang lain. Tapi bagi Aina, dia tidak pernah merasa susah dengan pertolongannya terhadap Adira.

*             *             *             *

                Sejak semester ketiga Adira sudah berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Dan apa yang dituliskannya berkenaan dengan motivasi diri. Pernah diceritakan kepada Aina, kemudian Aina memberi idea supaya disimpan semua tulisannya supaya suatu hari nanti akan menjadi sebuah buku yang berguna.

                Di dalam laptop Adira ada folder tempat dia menyimpan semua hasil tulisannya yang lebih berkisar tentang pengalam hidup sepanjang bergelar seorang pelajar. Tidak puas hati dengan tulisan yang hanya tersimpan rapi, dibuatnya sebuah blog menyimpan hasil tulisannya itu. Harapan Adira semoga tulisannya memberi manfaat kepada yang lain.

Semester empat baru bermula dan Adira tersenyum gembira kerana setiap semester dia mampu mendapat dean list. Dan sehingga kini dia belum pernah pulang ke rumah lagi kerana kerja pastinya. Mana dia mahu dapatkan duit jika setiap cuti dia pulang ke rumah? Pernah Aina bertanya kepadanya tentang pengorbanan yang dilakukan.

                "Kau pernah menyesal tak Dira tukar kos?"

                "Alhamdulillah setakat ni tak lagi."

                "Sedikit pun?" Soalan Aina dijawab dengan anggukan kecil dari Adira.

                "Sebab aku yang pilih jalan ni dan haruslah aku sanggup dengan ujianNya."

                "Kalau kau seorang engineer, kenapa?"

                "Aku perlu berkerja dengan ayah dan mungkin menghabiskan umur aku menguruskan syarikatnya walhal aku ada impian lain." Jawan Adira mudah.

    "Kan kau pernah cerita kau tukar kos sebab tak selesa. Sekarang ni?"

                "Alhamdulillah, aku sangat bersyukur. Walaupun perjuangan aku belum tamat dan setiap perjuangan itu buat aku terasa berat sekurang-kurangnya aku tahu aku terselamat dari perkara yang aku tak yakin."

                "Apa yang kau tak yakin?"

                "Aku tak yakin akan konsisten bertudung labuh, pakai handsock, stokin kaki... pendek kata tutup semuanya kalau aku terus dalam bidang sebelum ini."

                "Maksud kau?"

                "Aku takut perkara yang aku cuba pertahankan ni akan musnah akibat tak tahan dugaan. Dugaan panas umpamanya." Tergelak kecil Adira dengan kata-katanya sendiri. Melihat wajah Aina yang kelihat tidak memahami Adira menyambung lagi.

                "Lepas aku tamat belajar nanti aku nak jadi pensyarah atau mungkin seorang kaunselor. Dan selepas berkahwin, aku nak jadi suri rumah mendidik anak-anak aku sahaja."

                "Kau tak rasa rugi ke belajar tinggi-tinggi tapi jadi suri rumah akhirnya."

                "InshaAllah tak, sebab aku nak didik anak-anak aku jadi umat yang berjaya dunia akhirat dan dididik dalam suasana Islam yang sebenar."

"Kau tak rasakan perjuangan kau ni dah cukup pahit kemudian apabila kau ambil keputusan nak jadi suri rumah akhirnya perjuangan itu lebih pahit sebab tak mampu capai impian?"

"Itulah impian aku. Mendidik. Tak kira siapa yang aku didik tetapi jika aku mampu mendidik darah daging sendiri itu lebih bermakna." Adira menyambung yang membuat Aina berhenti menyoal dan mengerti alasan sahabatnya itu.

"Dan kau kena ingat... Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis."

Tahun ketiga...

                Habis sahaja semester keenam, Adira memulakan latihan praktikalnya di sebuah syarikat konsultan. Terlalu banyak pengalaman yang ditimbanya sepanjang berada di syarikat swasta itu. Malah yang lebih mengejutkan dia juga dibayar gaji seperti pekerja yang berkerja di situ tanpa mengira statusnya sebagai seorang pelajar yang sedang praktikal.

Beberapa minggu lepas ada penerbit yang menghubunginya untuk berbincang mengenai penulisannya di blog supaya boleh dijadikan sebuah buku motivasi untuk dipasarkan. Hampir seharian Adira tersenyum kerana terlalu gembira sambil mulutnya tidak letih mengucap alhamdulillah. Pada Aina turut dikhabarkan berita gembira itu.

                "Allah beri hujan dahulu sebelum beri pelangi..." Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Kak Aisyah yang sudah menamatkan pelajaran dua tahun lepas ditelinga Adira.

                Hujan yang dirasakannya memang lama sebelum Allah menghadiahkan pelangi buatnya. Dan hujan itu yang membuat Adira bersyukur atas nikmat pelangi yang diberikan. Pengalamannya penuh onak dan penuh cerita tetapi semua itu yang menjadikan dia seperti hari ini. Menjadikan dia seorang Adira yang sentiasa bersabar, bersyukur dan menerima apa adanya rezeki yang Allah berikan padanya.

                Semasa praktikal Adira banyak menghabiskan masanya di pejabat dan dia sendiri berasa canggung di rumahnya sendiri. Kadang-kadang walaupun kerjanya sudah selesai, dia tetap mencari sesiapa yang memerlukan bantuan dia. Sekurang-kurangnya ada juga kerja daripada duduk rumah seperti tunggul tidak berbuat apa-apa. Ibunya semakin sibuk dengan butik malah ayahnya boleh dikira dengan jari berapa kali mereka bertembung di rumah. Itupun ketika masing-masing sudah penat dan mahu masuk ke bilik dan esoknya tidak mungkin berjumpa kerana awal pagi Adira sudah pergi berkerja.

                Habis sahaja praktikal Adira kembali menyambung menulis buku yang bakal dipasarkan seperti yang dia bincangkan dengan seorang penerbit dahulu. Kata penerbit itu lagi jika awal Adira siapkan buku tersebut inshaAllah buku itu akan dipasarkan empat bulan selepas itu. Adira meminta tempoh seminggu lagi sebelum menghantar manuskrip penuh kepada penulis kerana ada sedikit yang perlu ditambah dalam penulisannya.

*             *             *             *

                "Aina!!! Aku berjaya Aina! Aku berjaya!" Terkejut Aina saat dia mendengar suara Adira memekik di hujung talian.

                "MasyaAllah Dira, bagi salam dululah!"

                "Sorry, sorry... Assalamua'laikum sahabat. Sihat?"

                "Waa'laikummussalam. Alhamdulillah sihat... Apa yang kau nak cakap tadi?" Aina yang baru bangun tidur memisat-misat matanya. Tadi belum sempat dia mengucap salam buat si pemanggil, jantungnya hampit terkeluar mendengar jeritan si pemanggil.

                "Aku dah dapat keputusan, aku dapat ANC!"

                "What? Seriously?!!" Kini giliran si penerima panggilan pula yang menjerit. Hampir seminit masing-masing menjerit meluah rasa teruja mereka terdiam seketika. Kemudian perlahan suara Adira menyapa telinga Aina.

                "Akhirnya... aku berjaya juga. Semua kepayahan aku macam hilang Aina. Hilang macam tu saja. Bagaikan segala beban yang pernah aku tanggung selama ini tak pernah aku alami... Alhamdulillah..." Bergenang mata Adira menutur ayat itu kepada Aina.

                "I'm proud of you friend... really proud. Kau layak untuk ini, sangat layak." Suara Aina juga perlahan menjawab.

                "And... I have another surprise. Guess what?"

                "Ada orang nak meminang kau minggu hadapan." Laju sahaja Aina menebak dengan niat hanya mahu mengusik.

                "This is more than that!"

                "Kau jangan cakap kau nak kahwin minggu depan?"

                "Mestilah..." bersahaja jawapan Adira membuat Aina menjerit lagi.

                "What!!!"

                "Mestilah... tak." Ketawa besar Adira dapat mengenakan rakannya itu.

                "Kau ni! Habis tu apa?"

                "Buku aku terbit lepas aku graduate. A day after my convocation. Jemput hadir untuk perasmian."

                "Means dua bulan dari sekarang?" Soal Aina seakan tidak percaya.

                "Yup! Datang tau jangan lupa!"

                "Mesti! For sure! Akan! Wajib!!!" Lintang pukang ayat Aina kepada Adira. Tapi yang penting dia gembira, terlalu gembira buat sahabatnya.

EPILOG

Adira tersenyum sendiri.  Sesekali dia tertawa kecil melihat telatah kanak-kanak yang bermain di hadapannya. Kepalanya mendongak memandang langit memerhatikan ciptaan Ilahi. Subhanallah... Apa sahaja ciptaan Allah pasti hebat. Dia terasa ada yang mengusap pehanya lembut. Pantas dia memandang ke sebelah. Aina...

"Feeling good?" Sebaris ayat Aina mengundang tawa kecil dari Adira.

"Alhamdulillah... really good." Aina tersenyum. Dia tahu apa yang Adira rasa walaupun bukan dia yang mengalami tapi dia sendiri melihat payah jerih Adira untuk sampai ke tahap ini.

"Lepas ni boleh buat buku baru pula?" Aina menganggkat kening mencabar Adira.

"InshaAllah. Mana tahukan? Kalau ada rezeki...." Teringat ketika pelancaran bukunya dua hari lepas. Dia sangat terkejut melihat dua insan yang turut berdiri di hadapannya ketika itu. Terus sahaja dia meluru memeluk ibu dan ayahnya. Berjurai air matanya memohon maaf atas tindakan yang diambil tapi yang lebih mengejutkan ibu dan ayahnya pula yang meminta maaf.  Pantas Adira menggeleng kerana dia tidak tegar melihat orang mulia di hadapannya meminta maaf kepada dia sebagai seorang anak. Dia telah lupa semua kepahitan dan tidak berbekas di hatinya perbuatan lalu mereka.

Adira kembali menebarkan pandangan ke taman permainan di hadapan. Melihat keseronokan kanak-kanak bermain buat dia tenang. Muka yang bebas dari masalah dan yang penting muka tiada dosa.

"Cukup-cukuplah tu Cik Dira oi! Jom kita balik!" Aina memaut bahu Adira. Terus Adira menjatuhkan kepalanya kebahu Aina.

"Aina..." perlahan suara Adira memanggil.

"Ya?"

"Thanks..."

"Hmm?"

"For everything. Terima kasih sangat. Allah sahaja yang boleh membalasnya."

Lama Aina terdiam. Tidak tahu mahu memberi reaksi apa. Sungguh dia ikhlas untuk setiap bantuan yang dihulurkan kerana kasih sayangnya pada Adira ibarat sayangnya dia pada keluarga sendiri.

"Dira... kita sahabat sampai syurga?" Adira tersenyum. Dia menganggkat kepala memandang Aina.

"InshaAllah... till jannah."

"Dah jom balik!" Peha Adira ditepuknya lembut.  Lantas mereka sama-sama berdiri berpimpin tangan menuju ke kereta. Dalam hati Adira, dia bersyukur... Dia belajar erti sebenar kata-kata Kak Aisyah sepanjang dia di universiti.

"Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis." Mungkin selepas ini dia perlu bersedia untuk berkerjaya atau jika ada yang meminang dia bersedia untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Takdir, apa sahaja boleh terjadi dengan kehendak Ilahi.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(As-Saff : 10-11)



-TAMAT-

No comments:

Post a Comment